| Kemeriahan seni hiburan tempatan terus diserikan lagi dengan kehadiran album sulung Patauboys bertajuk ' Kondusan Ku' yang menampilkan 10 buah lagu dalam Bahasa Dusun dan Bahasa Malaysia dengan pelbagai genre muzik yang sudah berada di pasaran kini. Pembikinan album Patauboys di bawah Pengurus dan juga selaku penerbit Sonnykent Elity Sulaiman @ Kent telah memakan masa 3 tahun untuk siap sepenuhnya. Menurut beliau, album seumpama ini pernah diilhamkan oleh rakan-rakan semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia suatu ketika dahulu. Kejayaan lagu ‘Menanti Mu’ telah merangsang semangat dan memberi keyakinan kepada patauboys untuk menerbitkan album. Lagu ‘Menanti Mu’ kemungkinan besar akan menjadi salah satu lagu dalam Album 2 kelak. Album sulung yang bertajuk “Kosunduan Ku” menampilkan 10 buah lagu dalam Bahasa Dusun dan Bahasa Malaysia dengan pelbagai genre muzik. Lagu-lagu dalam album pertama ini terdiri daripada: 1. Kosunduan Ku 2. Nulu Do Koginawaan 3. Panahon Ku 4. Lepaskan Tangan Ku 5. Oi Ambalut Ku 6. Tirak Om Tihad 7. Ginawo Ku 8. Mupus Tomod Oku Dika 9. Boros Nu Janji Nu 10. Surat Nu Ih Kopupuson Ervinna Benjamin atau lebih dikenali sebagai Leena (KDM Idol) adalah artis kelahiran Kampung Patau yang telah melontarkan vokalnya untuk dua buah lagu solo dan sebuah lagu duet dalam Album 1 ini. Beliau yang kini bekerja di salah sebuah klinik swasta sekitar Kota Kinabalu hanya berpeluang merakamkan vokal beliau pada hujung minggu di Patauboys Home Studio kerana tugas dan komitmen lain. Leena sebenarnya berbakat besar bukan sahaja dalam bidang nyanyian malah dalam lakonan. Selain itu, beliau pernah mengacara MTV Karaoke Upus 1 terbitan MOES production. Pernah menyandang tempat Ketiga dalam Pertandingan Sugandoi Peringkat Negeri 2008 mewakili daerah Tambunan. Salah seorang penyanyi dalam album KDM Idol 1 dan KDM Idol 2. Beliau juga berlakon dalam KDM (Kenapa Dengan Mereka) arahan Abu Bakar Ellah. Lagu ‘Kosunduan Ku’ yang didendangkan oleh Leena telah dicipta pada mulanya oleh saudara Kent dan Melanie John pada tahun 2003. Lirik lagu ini serba sedikit memberi kita suatu peringatan tentang asal usul dan peranan kita sebagai anak Dusun terhadap keluarga, warisan budaya yang semakin pupus, terutamanya bahasa Dusun itu sendiri yang nyata semakin kurang diamalkan dalam pertuturan masyarakat Dusun pada masa kini. Muzik ciptaan Saudara Amie menggabungkan alat bunyian tradisional, moden dan Sape (Sarawak) menjadikan lagu ini sebagai lagu genre Sumazau yang sedap didengar. Turut menjayakan lagu ini adalah suara seorang adik kecil yang bernama Fiffieca Vivie sebagai penyanyi latar Chorus ‘Kosunduan Ku’ yang kini sedang menuntut dalam Tahun 2 di SRK ST Theresa Tambunan. Lagu ‘Tirak Om Tihad’ yang baharu dirakamkan pada bulan Februari 2010 telah menjadi kemuncak kejayaan penerbitan album ini. Lagu ‘Tirak Om Tihad’ adalah versi Bahasa Dusun yang diolah daripada versi lagu puisi ‘Merpati Putih’ dalam genre orkestra. Lirik lagu dalam Bahasa Dusun ditulis oleh saudara Kent sendiri dengan bantuan jurubahasa KadazanDusun dari Kampung Sualok, Beluran iaitu Jinis Angoh dan Joseph Majuna. Lagu puisi ‘Merpati Putih’ yang dicipta oleh Delce Vincent Limbas pernah dihantar menyertai pertandingan lagu-lagu puisi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka suatu ketika dahulu. Beberapa orang rakan termasuk jurutera muzik patauboys mencadangkan agar ia dinyanyikan dalam bahasa tempatan untuk mengetengahkan lagu versi orkestra dalam kalangan masyarakat setempat. Lagu ini pernah didendangkan oleh beberapa vokalis namun akhirnya lontaran vokal Leena KDM Idol yang nampaknya amat serasi membawa lagu ini dengan begitu asyik sekali. Lagu duet ‘Ginawo Ku’ dinyanyikan oleh Leena bersama Sabinus Sunggip. Proses rakaman lagu ‘Ginawo Ku’ ini tidak begitu sukar kerana kedua-dua penyanyi yang membawa lagu ini memang berbakat dalam dunia seni suara. Secara umumnya, lirik lagu ‘Ginawo Ku’ mengisahkan tentang perkenalan dua insan yang membawa kepada suatu perhubungan yang lebih rapat kemudian akhirnya memberi suatu harapan atau impian untuk bersatu. Lagu ini amat sesuai dinyanyikan oleh pasangan-pasangan kekasih atau suami isteri yang mahu hidup mereka lebih ceria dan bahagia. Lagu ‘Nulu Do Koginawaan’ lirik ditulis oleh Jimmy pada 1997 dan melodi dicipta pada tahun yang sama semasa menuntut dan tinggal di Asrama SMK Gunsanad, Keningau. Rakan-rakan seperti Sius Sutin, Mcregore Gruntjen Evan, Donny Antalai, Claudius Jaunti, Bridger Thomas dan Rayner Dominic turut membantu menyanyikan demo lagu tersebut. Demo lagu ini pernah dihantar ke sebuah Syarikat Rakaman untuk diterbitkan namun tidak kesampaian apabila demo tersebut dipercayai tercicir entah ke mana. Walau bagaimanapun, ia telah menjadi suatu pengajaran supaya senantiasa membuat salinan ke atas lagu-lagu yang dicipta. Muzik lagu ‘Nulu Do Koginawaan’ melalui beberapa proses transformasi sehinggalah menjadi genre R&B yang terhasil kini. Penyanyi kepada lagu ini iaitu Nelson Julian yang berasal dari Kg. Kiawayan, Tambunan sememangnya bersesuaian dengan usia muda dan penampilan beliau yang agak ‘simple’ namun amat bergaya. Nelson pernah merakamkan lagu ini pada tahun 2007 dalam versi pop rock. Kemudian, muziknya diubahsuai mengikut peredaran masa dan mengambilkira permintaan golongan muda yang gemar dengan lagu-lagu R&B. Lagu ‘Panahon Ku’ genre Country pula dinanyikan oleh seorang penuntut Kolej Perubatan Kuching Sarawak iaitu Helyinie Peliment berasal dari Kg. Patau, Tambunan yang berbakat dalam bidang muzik kerana beliau boleh bermain gitar, mencipta lagu, menari dan memimpin kumpulan koir. Lagu ini mengisahkan tentang perjalanan penulis lirik dalam mengharungi pelbagai persoalan kehidupan yang mungkin boleh diselesaikan dengan membuat pilihan yang terbaik. Muzik lagu ini disusun pada tahun 2007 dan melalui proses pemurnian sehinggalah terhasilnya lagu genre Country yang menarik. Lagu keempat ‘Lepaskan Tangan Ku’ ciptaan Wenceslaus Justin yang berasal dari Kg. Lintuhun, Tambunan dan bertugas di Sandakan mendendangkan lagu ini secara duet bersama Rozita Francis dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Dusun dan Bahasa Malaysia. Lagu ini dirakamkan sejak tahun 2008 dan melalui beberapa proses rakaman semula. Lagu ini mengisahkan simboliknya sebuah perhubungan dua insan yang hampir musnah. Lagu ini dijangkakan hits kerana melodi dan lirik lagunya yang sangat menarik terutamanya buat peminat atau penggemar lagu-lagu duet. Lagu ‘Oi Ambalut Ku’ lirik ciptaan Dazzy Kogid berasal dari Kg. Mahua, Patau Tambunan merupakan seorang komposer lagu tempatan yang gemar menulis lirik yang berkaitan dengan realiti hidup terutama sekali dunia persahabatan. Penyanyi lagu ini Lazarus Kassim merupakan rakan sekampung kepada penulis lirik lagu ini. Lazarus pernah merakamkan album bersama Lambiri Yuliti pada tahun 2002 bertajuk ‘Topis 1’. Beliau juga seorang komposer lagu dan boleh bermain alat muzik dengan baik sekali. Lagu dalam rentak sumazau ini pasti menarik pendengar untuk menari sumazau bersama pasangan masing-masing. Lagu ‘Mupus Tomod Oku Dika’ genre reggae dicipta oleh Wenceslaus sepenuhnya, muzik oleh Amie dan siap dirakamkan pada tahun 2008. Lagu ini dijayakan bersama penyanyi latar iaitu Sabinus Sunggip. Lagu ini mengisahkan tentang dunia percintaan yang begitu bahagia sekali. Lagu ‘Boros Nu Janji Nu’ lirik ditulis oleh Dennis P. James dan dinyanyikan oleh Sabinus Sunggip. Lagu ini juga pernah dirakamkan pada tahun 2007 oleh Sabinus sendiri dan kemudiannya dirakamkan semula pada tahun 2008. Lagu ini menceritakan tentang perhubungan yang tidak kesampaian lantaran kata-kata dan janji yang hanya di bibir semata-mata. Lagu ini juga menggambarkan kekecewaan seorang insan yang diberi harapan menggunung sewaktu menjalin perhubungan yang akhirnya membawa kepada penderitaan yang pastinya berakhir dengan perpisahan. Lagu ‘Surat Nu Ih Kopupuson’ ciptaan sepenuhnya oleh Linus Sunggip yang berasal dari Kg. Patau, Tambunan dinyanyikan oleh beliau sendiri dan dirakamkan pada tahun 2008. Penyanyi dan komposer ini bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah di daerah Keningau. Lagu ini mengisahkan kisah sedih penulis yang telah menerima surat yang terakhir daripada kekasihnya yang mahu hubungan mereka diputuskan. Untuk makluman peminat, saudara Linus Sunggip adalah komposer kepada lagu-lagu dalam sebuah album oleh Joan Jerome sekitar akhir 1980-an. Berita dari - Utusan Borneo (Selasa 20-04-2010) Oleh - Hassim Haji Othman |
Thanks to admin...
Do support our local music..